Wednesday, September 14, 2011

sesabar dan seredha si tiram


Di dasar laut yang bening dan jernih, tinggal sepasang tiram sederhana besar bersama-sama dengan koloninya yang melekat kukuh pada sebuah batu besar. Makanan memang mudah didapati disitu dan habitatnya pun memang sesuai untuk koloni tiram tersebut.

         Suatu hari, arus tiba-tiba mengalir sangat deras sehingga menerbangkan butir-butir pasir di dasar laut tersebut. Sepasang tiram tersebut tidak sempat untuk menutup cengkerang mereka dan terpaksa menelan butiran pasir tersebut. Mereka cuba untuk meludahkan semula butiran pasir, tetapi tidak mampu.

         Pelbagai ikhtiar dilakukan oleh pasangan tiram itu, tetapi semuanya tidak membuahkan hasil. Lalu tiram tersebut memberi idea kepada pasangannya: " Jika kita tidak boleh mengeluarkan pasir ini apa kata kita tukarkannya kepada sesuatu yang lebih baik?". Pasangannya pun bersetuju tanpa sebarang bantahan.

         Setelah bertahun-tahun butiran pasir itu berada dalam cengkerang sepasang tiram itu, akhirnya terhasillah sesuatu yang berharga. Warnanya putih bercahaya. Itulah dia sebutir mutiara yang asalnya hanyalah pasir.


 
         Jika tiram mampu mengubah sebutir pasir menjadi sebutir mutiara maka tidak mampukah manusia yang dikurniakan oleh ALLAH s.w.t akal, lima pancaindera, hati dan status yang hebat sebagai khalifah untuk mengubah sesuatu menjadi yang lebih baik? Apa agaknya yang kita mampu lakukan?

0 comments: